Buat masa ini, Stacy sedang proses menyiapkan video klip bagi single baru, Jahat. Lagu ciptaan Edry Abd Halim itu akan diputarkan di stesen radio tidak lama lagi. Meskipun mendapat tawaran berlakon filem dan drama, Stacy terus terang mengatakan mahu lebih dikenali sebagai penyanyi.
"Bidang lakonan istilah baru. Beralih ke bidang lakonan dan serta-merta jadi pelakon tidak dirasakan sesuai buat masa ini. "Sukar fokus dua bidang serentak. Saya tidak kejar populariti kononnya nama lebih terkenal jika jadi pelakon pula. Saya ada pendirian dan tidak mahu terburu-buru berubah fikiran apabila dapat tawaran.

"Buat masa ini, keutamaan pelajaran dan karier. Saya syukur bidang diceburi membolehkan saya tampung hidup sendiri dan menyara keluarga.
"Walaupun berkesempatan bertemu tiga kali setahun, ibu dan keluarga datang dua atau tiga kali setahun menjenguk saya di Kuala Lumpur. Kadang-kadang mereka tinggal selama sebulan di sini," kata Stacy.
Bagi dua pencalonan kategori ABPBH tahun ini, Stacy sekali lagi dicalonkan untuk dua kategori.
Selaku top 5 finalis ABPBH, Stacy akan mempertahankan gelaran Artis Baru Wanita Popular. Gandingan bersama Adam melalui lagu Menggegar Dunia, mereka juga finalis Top 5 kategori Artis Berkumpulan atau Duo Popular.
Jika dua bulan lalu, rambut Stacy dipenuhi pelbagai warna, dia ini mengenakan imej rambut pendek. "Sebenarnya imej rambut pendek gaya baru. Saya mahu kelainan. Sehari selepas final Anugerah Juara Lagu (AJL24) di Stadium Putra, Bukit Jalil, saya ambil keputusan memotongnya.
"Sebelum itu, pakar salun menyuruh potong. Banyak rambut gugur berikutan penggunaan pewarna rambut berlebihan. Sekarang, lega kerana rambut kembali asal seperti zaman usia 15 tahun," katanya sambil ketawa kecil. Stacy berkata, dia suka tajuk pelik pada setiap lagu nyanyiannya.
Tajuk lagu dan single seperti Gagap, Pakai Buang dan Jahat membuktikan realiti itu. "Ramai peminat tanya menerusi laman web saya mengapa tajuk lagu pelik. Kebanyakan idea pencipta lagu, Edry. Dia suka tajuk pelik dan tanya saya, saya kata setuju kerana ada kelainan. "Apa pun, paling penting peminat dapat menerima Stacy seperti pernah kenali sebelum ini. Saya akan kekal seperti ini untuk terus menghiburkan peminat di mana saja saya berada," kata Stacy.
Ditanya apakah dia kecewa lagu Pakai Buang tidak muncul juara Anugerah Lagu ke-24, baru baru ini, Stacy berkata, lagu itu antara lagu terbaik melonjak populariti. "Lumrah pertandingan, ada menang, ada kalah. Saya tidak rasa kalah sebaliknya lagu itu membuatkan diri lebih dikenali. Lagu Aku Stacy juara carta Era dan Muzik Fm sementara Pakai Buang juara carta Era. Menggegar Dunia berada dalam kedudukan empat teratas beberapa stesen radio sekarang," katanya.
Berbicara mengenai teman lelaki, Stacy mengaku belum sedia bercinta. "Terus terang, saya belum sedia. Hubungan dua hati terlalu serius bagi usia sekarang. Saya mahu menyimpan duit dan membuka perniagaan sendiri pada masa depan. "Antaranya membuka restoran atau studio rakaman. Paling penting, tidak lupa membalas jasa keluarga ibu, bapa dan adik-beradik yang banyak berkorban selama ini," kata Stacy.
Sebelum menyertai AF6, Stacy mencuba bakat dalam program realiti nyanyian seperti One in a Million (OIAM) dan Gang Starz. Gandingan bersama adiknya, Camellus De'lleli Anam dengan nama kumpulan E-voke tersekat di separuh akhir.
ProfilNAMA PENUH: Stracie Angie Anam
GELARAN: Stacy
NAMA TIMANGAN: Putet
TARIKH LAHIR: 18 Ogos 1990
TEMPAT LAHIR: Penampang, Kota Kinabalu, Sabah
KELUARGA: Anak kelima daripada enam beradik
KARIER: Penyanyi
ZODIAK: Leo
TINGGI: 155cm
BERAT: 51kg
IDOLA: Beyonce, Christina Aguilera, Felix AF3
HOBI: Menyanyi, menari
BANGSA: Kadazan
STATUS: Bujang
MAKANAN KEGEMARAN: Nasi goreng dan sambal
PENCAPAIAN:
Juara Akademi Fantasia 6 (AF6)
Pemenang Artis Baru Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008.
Pemenang kategori Anugerah Popstar Shout! Awards 2009
Penyanyi Terbaik kategori Artis Baru Wanita Anugerah Planet Muzik 2009
Penyanyi Wanita Kedua paling popular Anugerah Planet Muzik 2009 di belakang Datuk Siti Nurhaliza
Pengiktirafan Kementerian Sukan dan Budaya Sabah sebagai ikon remaja Sabah dan idola industri hiburan
DISCOGRAFI ALBUM STUDIO:
2009: Aku Stacy
SINGLE:
Aku Stacy
Gagap
Pakai Buang
Jahat